Demikian peringatan buat manusia beriman dan kita mesti
yakin dengan sebenar-benar yakin bahawa setiap amal perbuatan di dunia akan
diberikan ganjaran di akhirat nanti. Besar atau kecil amal seseorang semua
dihitung. Siapa pun kita, pemimpin atau rakyat, raja atau hamba sahaya semua
akan ‘pergi’ menghadap Yang Maha Esa. Jadi apakah bekalan yang kita bawa untuk
dipersembahkan nanti?
Oleh itu, kita hendaklah menjadi mukmin cemerlang di dunia.
Cemerlang dari segi akhlak. Cemerlang dalam lapangan ilmu pengetahuan.
Cemerlang dengan amal ibadah dan amal soleh. Ini kerana kecemerlangan dalam
hakikat sebenar yang berpaksikan keimanan, ketakwaan dan menyusuri alur agama
akan memberikan impak besar di akhirat nanti.
Dengan itu, selagi kita bernafas dan kudrat yang dipinjamkan
Allah kepada kita ini masih bertenaga maka pergunakanlah ia untuk mengumpul
perbendaharaan akhirat. Maksudnya melakukan segala amar makruf dan nahi
mungkar.
Nabi Muhammad s.a.w pernah berpesan kepada kita yang
katanya, “Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: Muda sebelum tua, sihat
sebelum sakit, kaya sebelum miskin, kelapangan sebelum sibuk, hidup sebelum
mati.’ (Hadis riwayat Hakim).
Ini adalah pesanan terbaik buat umat manusia. Peringatan
supaya kita tidak lalai dengan nikmat kerana sifat manusia cepat lupa dan
terlalu ghairah dengan dunia sehingga pesanan Nabi s.a.w ini kita pandang remeh
saja.
Bak kata orang tua ‘Menyesal dulu pendapatan, menyesal
kemudian tiada gunanya.’ Sebab itulah Nabi s.a.w menyentuh lagi soal kelalaian
manusia ini sebagaimana terdapat dalam sabda Baginda yang bermaksud, “Dua
nikmat yang manusia terpedaya dengannya, iaitu sihat dan kelapangan.” (Hadis
riwayat Bukhari).
Memang tepat apa yang Nabi s.a.w kata kerana sudah menjadi
lumrah bagi sesetengah manusia mudah dihanyutkan oleh waktu sihat dan masa
lapang. Sedangkan kedua-duanya adalah nikmat Allah yang sepatutnya kita gunakan
anugerah tersebut dengan pengisian amal ibadah dan amal soleh. Alangkah
beruntungnya orang yang dapat melalui kehidupan dengan amal ibadah dan amal
soleh sehingga ke akhir hayat.
Ini kerana bekalan yang penuh berisi dengan ganjaran pahala
itu akan menjadi bekal diri bagi menghadapi detik cemas di akhirat nanti.
Ingatlah, duka dunia duka sementara tetapi sengsara akhirat kekal selamanya.
Jadi, isi kehidupan dengan amal menggunung dan pahala melangit.
Sekali lagi marilah menghayati wasiat Rasulullah s.a.w yang
ditujukan buat kita semua dalam melayari kehidupan dunia.
Sabda Baginda, “Seseorang yang meninggal diikuti (dihantar)
oleh tiga hal. Maka dua hal pulang dan tinggallah satu. Dia dihantar
keluarganya, hartanya dan amalnya. Maka keluarga dan hartanya pulang dan tinggallah
amalnya.’ (Hadis riwayat Bukhari).
Inilah hakikat yang mesti semua manusia akui. Harta menimbun
sekalipun semua akan kita tinggalkan. Ramai anak pun, semua kita tinggalkan.
Hanya amalan yang kita bawa bersama memasuki liang lahad. Apakah ini masih
tidak menginsafkan kita? Apakah kita masih mahu terus dibuai keghairahan dunia
sehingga lupa kepada ‘pelabuhan’ terakhir kita iaitu akhirat?
Jadi, kita sebagai mukmin yang beriman kepada Allah seharus
menyeimbangkan kedua-duanya, dunia dan akhirat. Dunia dikejar tetapi akhirat
tetap tidak dilupai.
Dalam hal ini, Allah ada mengingatkan kita sebagaimana
terkandung dalam Surah Al-Qasas ayat 77 yang bermaksud, “Dan tuntutlah dengan
harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan
hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan
bekalanmu) dari dunia.”
Inilah panduan Allah kepada kita supaya mengambil dunia
untuk mendapat pahala dan bukannya mengambil dunia dengan mengisi dosa! Di sini
juga ada baiknya kita merenungi mutiara hikmah Saidina Ali Abi Talib sebagai
pembuka mata hati menginsafi diri.
Kata Saidina Ali, “Seharusnya mereka yang berakal tidak
bersungguh-sungguh melainkan di dalam tiga perkara; berusaha untuk keperluan
hidupnya, beramal untuk hari kemudian dan bersuka-suka di dalam perkara yang
tidak haram.”
Jadikanlah pesanan ini sebagai perisai pembenteng diri dalam
memacu ketulenan roh keimanan dan insya-Allah ketiga-tiga perkara itu memandu
setiap insan mukmin ke mercu kegemilangan hidup di dunia dan kebahagiaan di
akhirat.
Justeru, binalah diri kita sebagai mukmin setiap hari dan
setiap masa supaya memenuhi ruang lingkup penghidupan dengan perkara bermanfaat
berteraskan syariat beragama yang luhur. Budayakan diri dengan amar makruf dan
nahi mungkar, biasakan diri dengan beramal kebajikan untuk kesejahteraan ummah.
Inilah landasan yang membawa bekalan pahala buat kita. Allah
berfirman melalui Surah An-Nisa’ ayat 40 bermaksud, “Sesungguhnya Allah tiada
menzalimi seberat zarahpun kalau ada (yang mengerjakan) satu kebaikan, nescaya
Allah akan melipat- gandakannya dan memberikan daripada sisi-Nya pahala yang
besar.”
Kita susuri lagi Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat
115, Allah memberi jaminan pahala buat insan yang melakukan kebaikan di dunia.
Firman Allah, “Apa- apa kebaikan yang mereka buat, nescaya tiadalah dikurangkan
pahalanya dan Allah Maha Mengetahui orang- orang yang bertakwa.”
Yakinlah dengan jaminan Allah ini. Imam Ibnu Taimiyah
mengingatkan kita dengan katanya, “Sangat berbeza antara yang menjadikan agama
sebagai tujuan dan dunia sebagai sarana, dengan orang yang menjadikan dunia
sebagai tujuan dan agama sebagai sarana. Orang yang kedua inilah yang tidak
mempunyai bahagian apa- apa di akhirat.”
Oleh yang demikian, bersama-samalah kita menjadikan dunia
yang kita diami ini sebagai kebun buat beramal ibadah dan beramal soleh dengan
satu visi mengumpul dana akhirat dan menjadikan segala gerak laku kita sesuatu
yang bermanfaat dan berpahala di sisi Allah.
0 comments:
Post a Comment