BERDOA MINTA
PERTOLONGAN HENDAKLAH SEPANJANG MASA BUKAN KETIKA BERDEPAN MUSIBAH.
RAMAI yang meminta kepada manusia tetapi tidak mahu meminta
kepada Allah SWT. Mereka juga pandai menjaga hubungan baik dengan manusia
tetapi memutuskan hubungannya dengan Allah SWT.
Mereka bergantung kepada manusia dan berharap mendapat
manfaat daripadanya sehingga melupakan kuasa Allah SWT yang memberi manfaat dan
mudarat. Perbuatan sebegini boleh menyebabkan iman seseorang terjejas.
Seolah-olah mereka hilang kepercayaan kepada Allah SWT, padahal Dialah yang
menggenggam ubun-ubun setiap makhluk.
Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berjumpa dengan cucunda
Umar bin Al-Khattab, seorang warak, zuhud lagi alim bernama Salim bin Abdullah
bin Umar al-Khattab. Kedua-duanya berada di Baitullah. Khalifah bertanya:
“Apakah kamu mempunyai hajat kepadaku, wahai Salim?” Salim menjawab: “Wahai
Sulaiman tidakkah engkau malu mengatakan itu padahal engkau berada di
Baitullah? Kemudian Salim keluar dan Sulaiman menunggunya di luar Baitullah dan
kembali bertanya: “Apakah kamu mempunyai keperluan kepadaku?” Salim bertanya
juga: “Keperluan dunia atau akhirat, wahai khalifah?” Sulaiman menjawab:
“Keperluan dunia.” Salim berkata: “Adapun tentang keperluan dunia, kepada yang
memilikinya pun aku tidak pernah meminta, bagaimana mungkin aku memintanya
kepada yang tidak memilikinya?
Kepada Allah SWT yang memiliki dunia dan segala isinya pun
beliau tidak meminta kecuali untuk kepentingan akhiratnya saja, apatah lagi
kepada manusia yang hakikatnya tidak memiliki apa-apa. Begitu kuatnya hubungan
orang mukmin kepada Allah SWT melebihi hubungan sesama manusia di dunia ini.
Keyakinannya kepada Allah SWT terpacak kukuh dan tidak mungkin digoyah oleh
kuasa apapun.
Orang mukmin berpegang kepada satu keyakinan, iaitu hanya kepada
Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan jika Allah menimpakan
sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan
Dia dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-An’am: 17)
Apabila syaitan pernah meminta kepada Allah SWT dan
permintaannya dimakbulkan, mengapa ramai manusia tidak yakin dengan doanya
kepada Allah SWT seterusnya berhenti berharap, berputus asa daripada rahmat-Nya
dan mencabut akar keyakinan daripada hatinya kepada Allah SWT? Sedangkan iblis
diberi peluang, inikan pula manusia makhluk pilihan paling mulia.
Sebagaimana yang terakam di dalam surah Al-A’raf: 14-15,
maksudnya: “Iblis berkata: Beri tangguh kepadaku sampai waktu mereka (manusia)
dibangkitkan”. Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi
tangguh.”
Sehebat dan sekuat apapun, manusia tetap makhluk yang tidak
berupaya melawan takdir-Nya. Dia memerlukan pertolongan Allah SWT, menyandar
pada rahmat-Nya, bergantung hidup kepada limpah kurnia-Nya dan mengharapkan
belas kasihan ketika menghadapi sebarang musibah.
Namun begitu, ada juga yang bergantung kepada Allah SWT
ketika susah saja, jika sudah berakhir kesusahannya dia kembali berpaling.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila manusia ditimpa
bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri,
tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui
(jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk
(menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya, begitulah orang-orang yang
melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah
Yunus: 12)
Mengapa cepat sekali hati berubah? Sekejap ingat sekejap
lupa, iman dan kufur bertukar-tukar seperti baju yang dipakai. Benarlah sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bersegeralah kalian mengerjakan amal soleh.
Kerana akan terjadi bencana yang menyerupai malam yang gelap, iaitu seseorang
yang pada waktu pagi beriman tetapi pada waktu petang dia kafir atau sebaliknya
pada waktu petang dia beriman dan pada pagi harinya dia kafir. Dia menukar
agamanya dengan sedikit keuntungan dunia.” (Hadis riwayat Muslim)
Perubahan iman yang berlaku sebegini pada asasnya disebabkan
renggangnya hubungan manusia dengan Allah SWT, lemahnya keyakinan mengenai
sifat-Nya dan kejahilan yang disengajakan. Secara sengaja mereka menolak
kebenaran al-Quran dan Sunnah, berdolak-dalih mencari alasan untuk meninggalkan
agama ke tepi. Pandai berputar belit menafikan ayat-ayat Allah dan semua itu
dilakukan kerana mereka lupa siapa diri mereka sebenarnya. Jika mereka berpijak
pada bumi nyata, mereka akan menghayati kelemahan diri. Mereka memerlukan Allah
SWT untuk selamat sampai ke tujuan.
Jika mereka diliputi kesulitan hanya kepada Yang Maha Kuasa
saja tempat bergantung. Apabila tiada lagi kekuatan dalam diri yang boleh
menyelamatkan maka mereka menjerit mencari Tuhan Yang Maha Perkasa. Sebagaimana
jeritan Qarun dan Firaun, kaum ‘Ad dan Tsamud. Sedangkan Nabi Musa merayu
kepada Bani Israil setelah berkali-kali dikecewakan dengan kekufuran mereka:
Walau diri pernah ternoda oleh dosa dan maksiat, tetaplah
berharap kepada Allah SWT. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan Allah maka
dia akan terputus daripada kesenangan dunia dan di akhirat pula menanti azab
yang kekal selama-lamanya. Doa dan harapan kepada Allah adalah senjata yang
paling tajam untuk membunuh iblis dan syaitan. Doa seorang hamba melemahkan
semangat iblis untuk menyesatkannya dari jalan Allah. Disebabkan tangisan,
ketakutan, harapan dan cemas mengiringi doa seorang hamba membuat iblis
berputus asa seketika.
Apatah lagi mendengar ketulusan seorang yang menyerahkan
segala permintaannya menurut ilmu Allah SWT bukan menurut kehendak diri
sendiri. Sebagaimana doa Nabi Nuh AS saat melihat darah dagingnya sendiri
tenggelam ditelan banjir besar. Firman Allah yang bermaksud; “Nuh berkata:
Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari memohon kepada
Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui (hakikat)nya dan sekiranya Engkau
tidak memberi ampun kepadaku, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaku,
nescaya aku termasuk orang-orang yang merugi.” (Surah Hud ayat: 47)
Bolehkah kita menghadirkan sangka baik kepada Allah SWT
dalam keadaan seteruk apapun dan mempersembahkan doa yang paling tulus? Belum
terlambat untuk mengetuk pintu langit dengan bahasa yang paling indah dan
lembut diiringi dengan harapan dan keyakinan kepada janji Allah SWT.
Sesungguhnya tidak akan ditolak doa orang yang berpuasa. Amin ya Allah, ya
rabbal ‘alamiin.
0 comments:
Post a Comment