Wednesday 14 November 2012

Mahalnya sebuah Hijrah




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 


Alhamdulillah umur kita masih dipanjangkan sehingga ke tahun yang baru, 1434H. Namun, rugilah kita andai umur kian meningkat tetapi amal tidak pula bertambah. Nauzubillah. 

Hamasah dalam penghijrahan

Tanpa semangat Rasulullah SAW bersama Saidina Abu Bajar As-Siddiq, Islam tidak mungkin dapat dirasai nikmatnya sehingga sekarang (juga dengan izin Allah). Dengan mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW tetap tekad mengharungi pelbagai halangan dalam berhijrah.

Andai kita ini adalah rantai perjuangan, maka semangat ini juga tidak harus kita biarkan terputus begitu sahaja. Hamasah dalam memacu diri ke arah yang lebih baik. Tetapkan target kita dalam beramal. Teruskan mengisi mutabaah amal kita setiap hari. 

Ketakwaan kunci kejayaan

Saat diperintahkan untuk keluar dan berhijrah, Rasulullah SAW pergi berjumpa Saidina Abu Bakar r.a ketika tengahari yang panas terik untuk merancang peringkat hijrah mereka.

Tengahari. Padang pasir. Panas. 

Tetapi, apa yang membuatkan Rasulullah SAW begitu tekad? Ya, takwa. 

Atas dasar patuh kepada segala perintah-Nya, Rasulullah S.A.W dan sahabat-sahabat begitu tekad meneruskan hijrah mereka. Lihatlah bagaimana Saidina Ali bin Abu Talib sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah. Atas dasar takwa. Bagaimana Saidina Abu Bakar bersama-sama memanjat Gua Thur yang tinggi, sehinggakan disengat ketika berada di dalam gua. Atas dasar takwa. 

Ketakwaan dan keyakinan  yang utuh di dalam hati inilah yang akan membawa kepada unsur-unsur positif yang lain seterusnya mampu menggerakkan kita ke arah pembentukan diri kita yang lebih baik. Tanpa sebarang keraguan, pasakkan Allah di dalam hati kita dan patuh segala perintah-Nya dalam semua perkara tak kira besar mahupun kecil, tidak kira urusan sendiri mahupun urusan ummah. 

Demi jiwa yang BESAR

Penting sangatkah mempunyai jiwa yang besar? Penting, malah sangat penting. Jiwa yang besar akan menangkis rasa futur dalam perjuangan, akan meyakinkan kita untuk bangun semula seandainya jatuh, akan memastikan kita terus thabat di jalan Allah. Jadi, mana mungkin dibiarkan jiwa kita kecil, kecil, kecil

Maka, berhijrahlah. Apakah yang perlu kita lakukan dalam penghijrahan?

Mulakan dengan niat. Tajdid niat dan semangat. Kemudian, bertaubat kepada Allah. Pelihara amal soleh kita. Banyakkan melakukan perkara kebaikan. Elakkan perkara yang mampu mengurangkan iman. 

--------------------------------------------------------------------------------------------------
Di sebalik lintasan sejarah ini, kita seharusnya segera bangkit untuk meletakkan penghayatan kita terhadap peristiwa bermakna ini agar kita tidak terus leka dengan dunia yang semakin hari semakin melalaikan. Andai syaitan itu bersungguh-sungguh ingin menyesatkan anak-anak Adam, kenapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik untuk diri kita sendiri? 
Jom hijrah. 
Jadikan yang buruk kepada baik. Yang baik terus menyinar. Yang menyinar yang membawa manfaat.
Jadikan yang lemah kepada gagah. Yang gagah terus terserlah. Yang terserlah yang mendapat redha-Nya.
"Ya Allah ya Tuhanku, elokkan bagiku agamaku yang mana agama itulah kepeliharaan perkaraku, dan elokkan bagiku duniaku yang mana padanya lah kehidupanku, dan elokkan bagiku akhiratku yang mana padanya kembali aku, dan Engkau jadika lah maut itu istirehat bagiku daripada sekalian kejahatan" [HR Muslim] 
Maassalamah wa ilal liqa'

~Melestari Tradisi Murabbi~


0 comments: