Sahabat
yang dirahmati Allah,
Marilah
kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kita kehadrat Allah s.w.t. dengan
melakukan apa jua suruhan-Nya dan menjauhi segala apa jua larangan-Nya.
Dalam
kehidupan kita sehari-hari, kita tidak terlepas dari membuat janji sama ada
antara sahabat dengan sahabat, rakan sekerja dengan rakan sekerja, pekerja
dengan majikan, pemimpin dengan ahli-ahli bawahannya dan kerajaan dengan
rakyat. Malah mungkin juga di antara dua golongan yang bermusuhan dan
sebagainya. Bahkan juga kadang-kadang
berjanji dengan Allah s.w.t atau bersumpah dengan nama Allah s.w.t. untuk
membuat sesuatu kebajikan dan meninggalkan sesuatu kemungkaran.
Agama Islam
tidak melarang kita membuat janji dengan sesiapa pun atau mana-mana pihak
asalkan janji-janji itu ditepati dan ditunaikan khasnya dalam perkara-perkara
yang baik dan berkebajikan.
Firman
Allah s.w.t maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman penuhi serta
sempurnakanlah perjanjian-perjanjian." (Surah al-Maaidah ayat 1)
Perjanjian
adalah satu amanah yang wajib ditunaikan dan menganggap ringan perjanjian dan
tidak menepati apa yang diucapkan adalah dosa besar yang dibenci dan dimurkai
Allah s.w.t. Sebagaimana Firman Allah s.w.t. dalam surah Ash-Shaff, ayat 2 – 3
yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan
apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu
memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
Sahabat
yang dimuliakan,
Menepati
janji adalah sangat-sangat dituntut oleh agama Islam. Dan orang-orang Mukmin
yang menepati janji akan diberi ganjaran yang sebesar-besarnya oleh Allah
s.w.t. iaitu ganjaran Syurga Firdaus.
Firman
Allah s.w.t. yang maksudnya : "Dan mereka yang menjaga amanah dan
janjinya. Dan mereka yang tetap
memelihara sembahyangnya mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di
dalamnya."(Surah Al-Mukminuun ayat 8-11)
Sahabat
yang dihormati,
Ingatlah
bahawa mungkir janji adalah perbuatan
yang tidak disukai oleh Allah s.w.t. yang banyak menimbulkan keburukan kepada
pihak-pihak yang berjanji. Sebagai contoh, akibat mungkir janji, sahabat dengan
sahabat menjadi renggang, pekerja dengan majikan bermusuhan, suami isteri
berselisih faham, ayah dan anak tidak bersefahaman. Rakyat dengan kerajaan akan
menimbulkan hubungan yang tidak harmoni. Rakyat tidak akam memilihnya semula
apabila berlaku pilihanraya.
Rasulullah
s.a.w. menyatakan dalam hadisnya yang bermaksud : "Dari tanda-tanda orang
munafik itu ada tiga iaitu apabila dia bercakap dia berbohong dan apabila
berjanji dia mungkir dan apabila diamanahkan dia khianat"
Sahabat,
Islam dalam
memimpin umatnya telah mengaturkan bagi mereka adab-adab dalam perjanjian,
antaranya adab-adab yang perlu diikuti itu ialah mengucapkan lafaz
“Insya-Allah” apabila berjanji suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t.
dalam surah Al-kahfi, ayat 23 dan 24 yang bermaksud :
"Janganlah
engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku akan lakukan
yang demikian itu kemudian nanti melainkan hendaklah disertakan dengan berkata
Insya-Allah. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa dan
katakanlah : mudah-mudahan Tuhanku
memimpin ku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini".
Apabila
kita mengucapkan perkataan “Insya-Allah” sebenarnya ucapan ini adalah sebagai
janji yang mesti dipenuhi mengikuti hukum syara' inilah yang menjadi kebiasaan di kalangan
kita apabila berjanji akan mengatakan “Insya-Allah” dengan maksud tidak
memberatkan apa yang dijanjikan itu atau dengan kata lain “Insya-Allah” itu
diucapkan sebagai alasan untuk tidak memenuhi janji.
Perlu
diingat dan difahami bahawa janji adalah wajib ditepati, ini bererti ucapan
“Insya-Allah” itu bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji.
Bahkan perkataan “Insya-Allah” itu hendaklah disertai dengan azam untuk
menyempurnakan janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang
dibenci oleh Allah s.w.t. Walau bagaimanapun menyentuh perkataan “Insya-Allah”
dengan azam untuk melakukan sesuatu itu adalah lebih menepati kehendak agama
Islam, kerana kita pasti bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu itu kecuali
dengan izin Allah s.w.t. jua.
Demikianlah
wahai kaum Muslimin, betapa agama Islam sangat mengambil berat dalam soalan
janji, oleh itu berhati-hatilah sebelum berjanji atau menerima janji. Jadikanlah menyebut perkataan “Insya-Allah”
itu bagi menyempurnakan mana-mana janji, itulah yang dituntut oleh Agama
Islam. Mudah-mudahan dengan berbuat
demikian kita akan terhindar daripada sifat-sifat orang munafik.
Firman
Allah s.w.t. dalam surah Al-Anfaal, ayat
58 :- maksudnya : "Dan jika kamu khuatir akan terjadinya pengkhianatan
dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan
cara yang jujur. Sesungguhnya Allah
tidak menyukai orang-orang yang khianat."
Sahabat
yang dikasihi,
Satu lagi
perkara janji yang paling besar yang telah kita ikrarkan kepada Allah s.w.t
adalah apabila kita mengucapkan kalimah
"Dari Ubadah Bin ash Shaamiti Rasulullah pernah bersabda yang
bermaksud... Barangsiapa bersaksi mengatakan Lailahaillah Muhammadarrasulullah..Tiada
Tuhan Yang Disembah Melainkan ALLAH.. dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh
ALLAH, maka ALLAH akan mengharamkan Neraka baginya.."
Dua kalimah
syahadah yang kita ucap dan ikrarkan itu adalah perjanjian yang besar kepada
Allah s.w.t bahawa kita telah berikrar bahawa Tidak ada Tuhan (Illah) yang
disembah melainkan Allah (yaini kita hanya beriman dan melaksanakan semua
suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya) dan menyakini bahawa hanya Nabi
Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah (yaini beriman kepada Nabi s.a.w dan
mengikut sunnah dan ajaran yang dibawa dan meninggalkan semua larangannya)
balasan daripada kita memenuhi janji ini adalah balasan Syurga dan dijauhi
daripada Neraka.
Jika kita
ingkar kepada dua kalimah syahadah tersebut ini bermakna kita telah memukir
janji, sifat orang Mukmin adalah memenuhi janjinya apabila ia berjanji.
Oleh itu
marilah kita berazam untuk memenuhi semua janji-janji kita untuk melayakkan
kita menjadi orang Mukmin yang dikasihi Allah s.w.t.
0 comments:
Post a Comment