Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ
ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan
mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah
menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Peribadi
bermaksud manusia itu sendiri dengan fizikal, aqidah dan akhlaknya, yang
berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Peribadi yang baik ialah yang
memiliki akidah Islam.
Pembentukan
akhlak Islam mestilah ditegak diatas empat asas utama, iaitu :
Pertama:
Iman.
Kedua :
Islam.
Ketiga :
Takwa.
Keempat :
Ihsan.
Huraiannya
:
Sekiranya
tidak wujud keempat-empat asas ini pada satu peribadi maka belum lagi dapat
diakui ia benar-benar berakhlak Islam. Keempat-empat asas ini mesti dibentuk dan
ditingkatkan mengikut keutamaan masing-masing.
Pertama :
Iman.
Dalam
konteks ini asas keimanan mesti diutamakan. Ini kerana asas-asas yang lain
tidak dapat ditegakkan sepenuhnya tanpa asas keimanan. Keimanan dianggap suatu
yang ungul dan memainkan peranan yang positif. Kekuatannya memberikan inspirasi
atau aspirasi yang kuat terhadap pembentukan asas-asas berikutnya. Sebaliknya,
kelemahan iman akan mengakibatkan kelemahan asas-asas yang lain.
Iman tidak
ubah seperti acuan atau benih. Bagaimana acuan maka begitulah hasilnya dan
bagaimana benih maka begitulah pokoknya. Oleh itu adalah sia-sia sebarang usaha
pembentukan akhlak Islam, jika tidak dimulakan dengan menegakkan asas keimanan
terlebih dahulu.
Iman yang
dikehendaki disini ialah iman yang menjadi asas atau tunjang kehidupan umat
Islam dalam semua aspek. Seorang muslim perlulah beriman sepenuhnya kepada
prinsip-prinsip keimanan yang enam, iaitu beriman kepada Allah, Rasul-Nya,
Kitab-Nya, Malaikat-Nya, Hari Akhirat dan beriman kepada Qada dan Qadar.
Iman ini
hendaklah hidup subur dijiwa serta menghasilkan amalan dan usaha yang sesuai
dengan kehendak Islam dan diredai Allah SWT. Kuat atau lemah , pasang atau
surut iman seseorang akan memberi kesan kepada setiap pekerjaan atau
perbuatannya. Jika kuat iman itu maka baiklah perbuatannya. Sebaliknya jika
lemah iman itu maka buruklah perbuatannya.
Kemurniaan
hidup masyarakat Islam dizaman Rasulullah SAW dalam semua aspek adalah
berpunca dari kekuatan iman yang dibentuk oleh Rasulullah SAW. Keberanian,
keadilan, kesabaran, persaudaraan dan perlaksanaan sepenuhnya ajaran Allah
dalam kehidupan mereka setiap hari adalah natijah dan benih keimanan yang
tulin. Sebaliknya kejatuhan akhlak yang berlaku di kalangan muda mudi Islam
kini adalah berpunca dari ketandusan iman mereka.
Amalan atau
pekerjaan yang berfaedah disisi Allah SWT. ialah amalan atau pekerjaan yang
digerak atau dicetuskan oleh iman.
Firman
Allah SWT. yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah
mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila
diperdengarkan kepada mereka ayat Allah bertambah lagi iman mereka dan kepada
Allah mereka bertawakal. Mereka mendirikan solat dan membelanjakan rezeki yang
Kami anugrahkan kepada mereka, merekalah orang-orang yang benar-benar beriman.
Mereka memiliki beberapa darjat di sisi Allah serta mendapat pengampunan dan
rezeki yang murah daripada-Nya.” (Surah Al-Anfal ayat 2-4)
Kedua :
Islam.
Asas kedua
dalam pembentukan akhlak Islam ialah Islam itu sendiri .Islam bermakna ikutan
atau perlaksanaan segala titah perintah Allah SWT. dan patuh kepada-Nya
semata-mata. Islam merupakan tatacara hidup yang serba lengkap seperti yang
ditegaskan oleh Allah SWT. dalam firman-Nya yang bermaksud : “Pada hari ini
telah Ku sempurnakan untuk kamu deenmu, dan telah-Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku,
dan telah redai Islam itu menjadi agama bagimu.” (Surah Al-Maidah ayat 3)
Islam
sahaja merupakan cara hidup yang Allah redai.
Firman
Allah SWT. yang bermaksud : “Barangsiapa mencari deen selain deen Islam, maka
sekali-kali tidaklah akan diterima daripada-Nya, dan dia di akhirat termasuk ke
dalam golongan orang-orang yang rugi.” (Surah Ali-Imran ayat 85)
Ajaran
Islam tidak akan dapat dilaksanakan di dalam kehidupan seseorang tanpa asas
pertama kepada pembentukan akhlak Islam, iaitu keimanan yang hakiki. Selagimana
ajaran Islam tidak dituruti sepenuhnya hasil dari dorongan iman, maka belumlah
seseorang itu dapat diakui sudah berakhlak Isalm.
Perlaksanaan
ajaran Islam dengan amalan seseorang adalah menandakan wujudnya iman dalam
jiwanya. Amal dan iman adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan.
Firman
Allah SWT. yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman mengerjakan
amal soleh, mendirikan solah dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di
sisi Tuhannya. Tidak ada kekuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka
bersedih hati.” (Surah Al-Baqarah ayat 277)
Ketiga :
Takwa.
Seorang
muslim dianggap bertakwa apabila hatinya benar-benar takutkan Allah SWT. serta
memperhambakan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Dia juga menyedari bahawa dia
akan berhadapan dengan Allah SWT di hari kiamat kelak. Hidup didunia ini
dianggapnya sebagai ujian dari Allah SWT. Justeru itu dia perlu sentiasa
berhati-hati dan mengawasi dirinya agar tidak terjerumus kedalam
perbuatan-perbuatan mungkar yang dilarang oleh Allah SWT. Takwa ini mestilah
dibina diatas iman yang sejati.
Firman
Allah SWT yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada
Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dibuatnya untuk
hari esok (Akhirat) , dan bertakwalah, kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr ayat 18)
Keempat :
Ihsan.
Manakala
ihsan pula lahir dari hati yang cintakan Allah SWT. Cinta yang mendorong
seseorang itu bersungguh-sungguh dan penuh minat melaksanakan ajaran Islam demi
mengejar keredaan-Nya. Seorang yang bersifat ihsan akan mengutamakan orang lain
daripada dirinya. Sifat ini melambangkan ketinggian akhlak seseorang muslim.
Dalam menjelaskan ihsan, Allah SWT berfirman yang bermaksud : "...(iaitu)
orang-orang yang menafkahkan (hartanya) baik diwaktu lapang atau sempit, dan
orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah
menyukai orang-orang yang mohsin (bersifat ihsan)." (Surah Ali-Imran ayat
134)
Sahabat
yang dikasihi,
Akhir kata
suka ditegaskan bahawa akhlak Islam akan lahir pada peribadi muslim setelah
melengkapi asas-asas tadi, iaitu iman, Islam takwa dan ihsan. Sayugia juga
diingatkan bahawa asas pertama (iman) dan kedua (Islam) adalah syarat mutlak
untuk membentuk akhlak Islam. Manakala asas ketiga (takwa) dan keempat (ihsan)
ialah asas-asas yang melengkapi dan menyempurnakannya
0 comments:
Post a Comment